SEORANG pekerja bantuan kemanusiaan British, Alan Henning dilaporkan telah disembelih oleh militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), Jihadi John yang juga warga negara sama menerusi sebuah video yang ditayangkan kumpulan tersebut menerusi dalam talian. Sebelum dibunuh, Henning yang kelihatan cengkung telah diberi peluang memberi ucapan pendek dengan menyalahkan Parlimen British kerana membenarkan serangan terhadap Iraq dan Syria. Video yang memperlihatkan John berucap dalam bahasa Inggeris itu terhenti seketika apabila militan terbabit melangkah untuk menyembelih mangsa. Bagaimanapun video yang bersambung kemudiannya menyaksikan tubuh dan kepala Henning telah berasingan. Henning dalam ucapannya berkata, "Saya Alan Henning, disebabkan parlimen kita (British) membuat keputusan untuk menyerang negara Islam, saya sebagai rakyat British terpaksa 'membayar' terhadap keputusan tersebut," katanya. Dalam Video itu, Henning kelihatan tidak bermaya dan lesu berbanding kebiasaannya, malah matanya juga seperti membengkak.