suria

Seorang Maut, 300 Cedera Gempa Bumi Di China

Gempa bumi kuat berukuran 6.0 magnitud menggegarkan wilayah Yunnan di China.

BEIJING: Satu gempa bumi kuat menggegarkan kawasan pergunungan wilayah Yunnan di barat daya China mengakibatkan seorang maut, dan lebih 300 orang cedera manakala 50,000 lagi terpaksa dipindahkan, kata media tempatan pada Rabu.

Menurut Pusat Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran berukuran 6.0 magnitud itu melanda lewat malam Selasa di wilayah itu yang terletak berhampiran sempadan Myanmar dan Laos.

Agensi berita Xinhua berkata, setakat ini seorang maut akibat gempa bumi tersebut.

Tambahnya, seramai 324 orang cedera, di mana kebanyakan mereka di daerah Jinggu, yang terletak dekat dengan pusat gempa itu.

Ia memetik pegawai tempatan sebagai berkata, lebih 92,000 orang di Jinggu terjejas akibat bencana itu dan seramai 56,880 orang telah dipindahkan.

"Banyak rumah runtuh, dan kita sedang menyiasat jika terdapat sebarang kematian/kecederaan," kata seorang pegawai tempatan kepada agensi itu.

Dilaporkan, kira-kira 3,200 anggota tentera diarah ke kawasan yang dilanda gempa untuk operasi mencari dan menyelamat.

Seramai 600 anggota penyelamat ditambah bersama anjin pengesan turut dihantar ke kawasan berkenaan. - AFP



gempa bumi

Artikel Lain