FREETOWN: Hanya kerana mahu mengambil contoh darah seorang wanita warga tua yang menjadi mangsa wabak Ebola, sekumpulan penduduk bertindak mencetuskan rusuhan di Sierra Leone. Lebih mendukacitakan apabila kejadian itu mengakibatkan dua maut, manakala beberapa lagi mengalami kecederaan. Sebelum rusuhan itu berlaku, pekerja pasukan perubatan yang berusaha untuk mengekang penularan Ebola cuba mengambil contoh darah wanita tua itu. Wanita terbabit yang berusia 90 tahun itu dipercayai dijangkiti penyakit maut berkenaan dan meninggal dunia dipercayai akibat tekanan darah tinggi. Apabila dikhabarkan mengenai kematian wanita itu dan kemungkinan pekerja kesihatan mahu mengambil contoh darah ibu pemimpin belia di bandar Koidu itu, penduduk setempat bertindak berkumpul sambil membawa parang dan penyodok untuk menghalang tugas itu. Rusuhan mula tercetus apApabila petugas perubatan menghubungi pengawal keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga. Berikutan kejadian itu, menurut sumber hospital, dua maut, manakala 10 cedera dalam keganasan itu. Bagaimanapun, belum dapat disahkan sama ada kematian itu disebabkan kecederaan ditembak atau sebab lain.