COLOMBO: Hampir 200 rakyat Sri Lanka hilang berikutan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di kawasan tengah negara itu berikutan hujan lebat yang melanda sejak beberapa hari lalu. Malahan, pasukan mencari dan menyelamat juga dikatakan berhadapan situasi sukar untuk mengesan semua mangsa di kawasan seluas kira-kira 3.5 kilometer (km) itu. Pusat Pengurusan Bencana memaklumkan angka itu selepas kira-kira 500 askar dan sukarelawan menyambung semula usaha mencari mangsa yang hilang. Jurucakap tentera Sri Lanka, Brigedier Jeneral Jayanath Jayaweera berkata, operasi mencari dan menyelamat di kawasan Meeriyabedda, Koslanda yang terletak sekitar 200 km dari sini itu disambung semula walaupun cuaca buruk. “Risiko lebih banyak tanah runtuh dan kesukaran untuk sampai ke kawasan bencana menyukarkan operasi menyelamat,” katanya. Setakat ini, sekurang-kurangnya 14 orang disahkan terkorban dalam bencana itu. Dalam perkembangan sama, Presiden Mahinda Rajapakse melawat lokasi bencana dan meluangkan masa menemui sebilangan keluarga yang kini tinggal di beberapa penempatan sementara. Hujan lebat itu menyebabkan tanah runtuh di kawasan bencana seluas sekitar 3.5 kilometer, manakala banjir lumpur menenggelamkan sejumlah 150 buah rumah pekerja ladang teh di kawasan sekitarnya.