TEHRAN: Memelihara anjing di Iran pada masa akan datang mungkin akan berhadapan dengan risiko boleh dikenakan sebatan sehingga 74 kali di bawah undang-undang yang dicadangkan oleh puak konservatif. Undang-undang yang dicadangkan itu antara lain termasuklah larangan memelihara anjing di rumah dan larangan tidak boleh membawa anjing bersia-siar di tempat awam. Rang Undang-Undang tersebut telah pun ditandatangani dan disokong oleh 32 anggota parlimen konservatif, demikian menurut laporan akhbar reformis, Shargh sepertimana yang dipetik oleh agensi berita antarabangsa AFP pada Jumaat. Parlimen Iran mempunyai 290 orang anggota. Anjing dilihat sebagai binatang yang tidak bersih di dalam Islam dan ia juga bukanlah sesuatu yang biasa di Iran. Bagaimanapun terdapat keluarga yang memelihara anjing di dalam perkarangan rumah mereka. Iran yang mempunyai skuad polis moral, pernah menahan individu yang membawa anjing mereka bersiar-siar di tempat awam. Namun jika rang undang-undang baru ini diluluskan oleh parlimen, maka mereka yang didapati bersalah kerana memelihara anjing atau membawa anjing bersiar-siar di tempat awam boleh dikenakan hukuman denda sebatan sehingga maksimum 74 kali, atau dikenakan denda dari 10 juta Rial sehingga 100 juta Rial (AS$370 hingga AS$3,700). Undang-undang baru itu juga melarang orang-ramai daripada menyentuh atau bermain-main dengan anjing di hadapan khalayak ramai. Anjing yang ditangkap di bawah undang-undang baru ini juga akan dihantar ke zoo atau dilepaskan di dalam hutan. Para pemimpin berhaluan konservatif di parlimen Iran khuatir akan pengaruh dan budaya Barat yang boleh disebarkan dengan mudah menerusi siaran televisyen satelit dan internet. Memelihara anjing turut dilihat sebagai sesuatu yang tidak Islamik. Undang-undang itu bagaimanapun tidak terpakai ke atas anggota penguatkuasa seperti polis dan kastam atau ke atas petani serta pemburu yang memerlukan anjing untuk tujuan pekerjaan dan tugasan. Ketua Polis Iran, Jeneral Esmail Ahmadi Moghaddam dua tahun lalu pernah dipetik sebagai berkata yang pegawai-pegawainya tidak akan teragak-agak menahan mana-mana individu yang ditangkap membawa anjing bersiar-siar di tempat awam.