suria

Pemilik Akaun Twitter Pro ISIS @ShamiWitness Ditahan

PENGENDALI akaun Twitter pro kumpulan militan Negara Islam dan Syria (ISIS) paling berpengaruh telah ditahan, kata pegawai kanan polis Bangalore pada Sabtu.

"Dia dalam tahanan kami," kata anggota pasukan keselamatan, sekali gus mengesahkan penahanan lelaki yang dikenali sebagai Mehdi dan berselindung disebalik nama akaun Twitter @ShamiWitness itu.

Bagaimanapun, pihak berwajib enggan memberi maklumat lanjut.

Polis Bangalore merancang gerakan memburu Mehdi yang dilaporkan bekerja sebagai seorang eksekutif di bandar itu susulan laporan stesen televisyen Britain, Channel 4 News.

Laporan Channel 4 News pula bagaimanapun tidak mendedahkan nama sebenar Mehdi kerana lelaki itu mendakwa nyawanya akan terancam jika identitinya diketahui umum.

Berikutan penyiaran berita yang mendedahkan mengenai Mehdi, akaun Twitter yang mempunyai lebih 17,700 pengikut dengan tweet yang dilihat mencecah dua juta setiap bulan itu ditutup.

Selain itu, laporan itu juga menyebut Mehdi tidak dapat meneruskan hasrat untuk menyertai IS kerana dia adalah sumber kewangan utama keluarganya.

"Jika saya berpeluang meninggalkan segala-galanya dan menyertai kumpulan itu sudah pasti saya akan lakukannya, tetapi keluarga lebih memerlukan saya di sini."

Menggunakan akaun @ShamiWitness, dia mentweet video pembunuhan beramai-ramai tentera Syria dan petugas perubatan, Peter Kassig lima kali dalam masa seminit sebaik ia dimuatnaik ke internet.

@ShamiWitness, Mehdi, Bangalore, ISIS, Twitter

Artikel Lain