SYDNEY: Dua orang mangsa tebusan sebuah kafe di tengah-tengah bandar ini yang terbunuh dalam insiden yang mengemparkan Australia dan dunia pada Isnin telah dikenalpasti sebagai pengurus kafe berkenaan, Tori Johnson dan Katrina Dawson, seorang pekerja di blok berhampiran dengan tempat kejadian. Portal berita Britain, Mail Online dalam laporan mereka menyatakan yang Johnson,34, terbunuh ketika dia cuba menyelamatkan mangsa-mangsa tebusan dengan merampas senjata daripada lelaki yang menahan mereka di dalam Lindt cafe di kawasan perniagaan popular, Martin Place itu. Pengurus Lindt cafe, Tori Johnson (kiri) dan ibu kepada tiga anak Katrina Dawson yang maut dalam insiden berkenaan. The Mail melaporkan yang pergelutan antara mangsa dengan penculik mereka itu berlaku sejurus selepas jam 2 pagi, Selasa. Dawson pula yang berusia 38 tahun adalah seorang ibu kepada tiga orang anak dilaporkan meninggal dunia di hospital ketika sedang menerima rawatan kecemasan selepas dia juga terkena tembakan. Kesemua mereka adalah mangsa tahanan selama lebih 16 jam selepas seorang lelaki yang telah dikenalpasti sebagai pelarian Iran bertindak memasuki kafe berkenaan dan menahan para pelanggan dan kesemua pekerja yang berada di dalamnya. Seorang wanita yang tidak dapat menahan kesedihan berikutan insiden di Lindt kafe. Mangsa cuba untuk berlawan dengan lelaki berkenaan yang dikenali dengan nama Man Haron Monis selepas mendapati dia tertidur selepas 16 jam menahan mangsa-mangsanya yang berjumlah 17 orang kesemuanya. Lelaki bersenjata yang berusia 50 tahun itu bagaimanapun tersedar dan melepaskan tembakan ke arah Johnson. Ketika itulah pihak polis mengambil kesempatan dan menyerbu masuk ke dalam kafe itu lalu menamatkan drama tebusan yang disiarkan ke seluruh dunia oleh pelbagai agensi berita antarabangsa yang berkampung di sini sejak ia berlaku ada awal pagi Isnin. Man Haron Monis dilaporkan turut terkorban dalam insiden itu.Dia dilaporkan meninggal dunia di hospital ketika sedang menerima rawatan akibat luka tembakan ketika serbuan dilakukan.