SYDNEY: Lapan kanak-kanak berusia antara 18 bulan hingga 15 tahun ditemui mati, dipercayai dibunuh, manakala seorang wanita cedera akibat ditikam dalam kejadian di sebuah rumah di Cairns pada pagi Jumaat. Insiden bunuh beramai-ramai itu disifatkan sebagai insiden paling ngeri pernah berlaku di wilayah utara bandar Cairns kata polis. Polis Queensland berkata, mereka menerima panggilan kecemasan dari Manoora, kawasan luar bandar di Cairns yang melaporkan seorang wanita mengalami kecederaan serius. Jurucakap Perkhidmatan Ambulan Queensland berkata, hanya seorang mangsa terselamat iaitu seorang wanita berusia 34 tahun, bagaimanapun dia mengalami kecederaan serius akibat ditikam di bahagian dada. Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan dan berada dalam keadaan stabil di hospital, kata Detektif Brunor Asnicar. Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai punca sebenar kesemua mangsa dibunuh. "Buat setakat ini, tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai kejadian yang sangat tragis ini. Keadaan semuanya masih terkawal," kata Asnicar kepada jiran. Pihak polis juga masih belum dapat memastikan hubungan antara semua mangsa yang terbunuh dengan wanita yang mengalami kecederaan itu. Bagaimanapun, Lisa Thaiday, yang mendakwa sepupu kepada wanita yang cedera dalam kejadian tersebut berkata, semua kanak-kanak yang terbunuh merupakan adik beradik dan wanita yang mengalami kecederaan itu merupakan ibu kandung mereka. Thaiday berkata, seorang lagi abang mangsa berusia 20 tahun pulang ke rumah dan sangat terkejut apabila mendapati adik beradiknya yang lain telah mati dibunuh dalam rumah berkenaan. "Saya perlu bertemu dan menenangkan dia," kata Thaiday. "Mereka sebuah keluarga yang besar..saya benar-benar tidak percaya. "Kami sangat sedih bila melihat mayat bayi yang tidak bermaya. Jalan masuk utama ke tempat kejadian telah ditutup untuk tempoh sekurang-kurangnya selama sehari, kata Asnicar. Puluhan anggota polis ditempatkan di kawasan kejadian. "Peristiwa ini sangat menyedihkan semua pihak dan polis tidak akan berdiam diri," kata Asnicar Tragedi malang itu berlaku beberapa hari selepas sebuah kafe di Sydney diserang oleh seorang lelaki bersenjata. Dalam kejadian yang menggemparkan itu dua orang terbunuh dan sementara mangsa yang lain dijadikan tebusan selama hampir 16 jam sebelum pihak polis menyerbu bangunan berkenaan. "Berita dari Cairns benar-benar menyayat hati. "Semua ibu bapa berasa sangat sedih atas apa yang berlaku. Ini merupakan satu ujian kepada kita," kata Perdana Menteri Australia Tony Abott dalam satu kenyataan.