QUEENSLAND: Walaupun cedera dipercayai akibat ditikam, polis Australia tetap menahan ibu kepada tujuh daripada lapan kanak-kanak yang ditemui mati di sebuah rumah di Cairns di sini, pagi Jumaat. Wanita berusia 37 tahun itu ditahan ketika dibawa ke Hospital Cairns Base untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan yang dialaminya. Pegawai polis, Bruno Asnicar berkata, wanita itu ditahan Jumaat malam dan ketika ini di bawah pengawasan pihaknya di hospital berkenaan. Bagaimanapun, setakat ini, wanita yang memberi kerjasama untuk siasatan kes itu belum didakwa atas sebarang kesalahan. Polis menerima panggilan pada Jumaat dan menemui mayat lapan kanak-kanak terbabit yang dalam lingkungan 18 bulan sehingga 15 tahun. Sehingga Sabtu, pasukan forensik polis masih menjalankan pemeriksaan terhadap rumah terbabit selepas mayat-mayat yang ditemui dibawa keluar. Asnicar berkata adalah terlalu awal untuk mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak terbabit walaupun ada laporan mengatakan mereka ditikam. “Autopsi akan dilakukan hari ini. Hanya selepas itu kami dapat memberikan komen lanjut," kata Asnicar. Pembunuhan itu telah menggemparkan rakyat negara itu yang baru sahaja dikejutkan dengan insiden serangan di sebuah kafe di Sydney Isnin lalu yang meragut nyawa dua tebusan. Tragedi terbaharu ini hanya diketahui selepas anak lelaki wanita itu yang berusia 20 tahun tiba di rumah terbabit pada pagi Jumaat.