CAIRNS: Ibu kepada tujuh daripada lapan kanak-kanak yang dibunuh di utara bandar Cairins didakwa atas pertuduhan membunuh, kata polis Australia pada Ahad. Wanita berusia 37 tahun itu yang identitinya tidak didedahkan dan masih ditempatkan di sebuah hospital dengan kawalan polis itu didakwa dengan lapan pertuduhan bunuh selepas mayat empat kanak-kanak perempuan dan empat lagi mayat lelaki berusia dua hingga 14 tahun ditemui pada pagi Jumaat. Menurut polis, pertuduhan itu dibacakan oleh seorang majistret di Hospital Pangkalan Chairns, Queensland. Kes pembunuhan itu mengejutkan penduduk Australia yang masih trauma dengan insiden tebusan di sebuah kafe di Sydney pada minggu ini dengan menyaksikan dua tebusan dan seorang lelaki bersenjata maut. Pihak berkuasa tidak mendedahkan punca kematian kanak-kanak itu tetapi mereka sedang melihat pelbagai senario termasuk mati lemas. "Kami mempertimbangkan kemungkinan mati lemas dan oleh itu, kes ini memerlukan sedikit masa," kata inspektor detektif Bruno Asnicar pada Ahad. Terdahulu, polis berkata sebilah pisau ditemui di sebuah rumah, lokasi dimana kesemua lapan mayat tersebut ditemui. Bedah siasat ke atas kesemua mayat sedang dilakukan dan proses itu dijangka selesai lewat malam Ahad.