suria

Rakyat Uzbekistan Keluar Mengundi, Tentukan Hala Tuju Negara

TASHKENT: Rakyat Uzbekistan mengundi pada Ahad, peristiwa paling penting pada tahun ini, yang akan menentukan strategi dan pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pilihan raya itu diadakan walaupun lebih banyak kuasa diberi kepada Parlimen dan meningkatkan lagi pendemokrasian dalam sistem pilihan raya selaras dengan konsep yang dirangka Presiden Islam Karimov.

Presiden mewujudkan 'Konsep Meningkatkan Pembaharuan Demokratik dan Mewujudkan Masyarakat Sivil' pada November 2010. 

Berikutan itu, banyak pindaan institusi diperkenalkan untuk menggerakkan Uzbekistan ke arah demokrasi berparlimen.

Lebih 20 juta daripada 31 juta rakyat Uzbekistan layak mengundi dan berdasarkan pilihan raya Parlimen sebelum ini, lebih 80 peratus pengundi keluar mengundi, pemerhati menjangkakan pada tahun ini jumlah pengundi adalah lebih tinggi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC) Uzbekistan yang diberi status badan berperlembagaan - menyedia dan mengadakan pilihan raya tanpa campur tangan daripada mana-mana badan kerajaan yang lain - menubuhkan 9,035 pusat pengundian dengan 44 daripadanya ditempatkan di pejabat perwakilan Uzbekistan di luar negara.

Pusat pengundian dibuka pada 6 pagi (waktu Malaysia 9 pagi) dan akan ditutup pada 8 malam (waktu Malaysia 11 malam). 

Keputusan awal pilihan raya itu dijangka diumumkan pada Isnin, kata CEC.

Di Malaysia, Duta Uzbekistan di Malaysia Murad Askarov berkata 150 warga Uzbekistan akan mengundi pada Ahad di kedutaan itu yang terletak di Ampang Utama, Kuala Lumpur.
 
"Pengundi mestilah berusia 18 tahun sehubungan itu pelajar kolej dan universiti digalak mengundi. 

"Mereka sering diingat untuk mengamalkan hak berperlembagaan untuk mengundi semasa pilihan raya," katanya.

Pilihan raya itu menyaksikan 535 calon daripada empat parti - Parti Demokratik Liberal, Parti Demokratik Rakyat, Parti Demokratik Milly Tiklanish (Kebangkitan Kebangsaan) dan Parti Demokratik Sosial Adolat (Keadilan) - bertanding untuk merebut 135 kerusi dalam Dewan Undangan Majlis Oliy (Dewan Rendah Parlimen Uzbekistan).

Di bawah undang-undang pilihan raya, sebanyak 15 kerusi diperuntukkan untuk Pergerakan Ekologi Uzbekistan, memandangkan kepentingan alam sekitar dan cabaran untuk mendepaninya.

Sementara itu, pengikut setia bagi pembangunan Uzbekistan, seorang warga Australia yang pernah menetap di situ selama enam tahun, berkata keistimewaan Uzbekistan ialah ia sentiasa mahu melakukan perubahan bagi penambahbaikan negara itu.

"Ia mungkin sedikit perlahan pada satu-satu masa, tetapi ia sentiasa bergerak ke arah pendemokrasian, selepas republik itu mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Soviet Union pada 1991," kata 'pakar' itu yang enggan namanya didedahkan ketika diminta mengulas aspirasi Uzbekistan ke arah masyarakat yang lebih demokratik.

Uzbekistan yang berkeluasan 447,400 kilometer persegi, dikelilingi oleh Afghanistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan.
Negara paling ramai penduduk antara lima bekas negara Republik Soviet di Asia Tengah, dengan rizab gas dan minyak yang banyak, antara 10 pengeluar emas terbesar dunia dan pengeksport kapas kedua terbesar dunia serta memiliki rizab uranium yang banyak.

Hubungan diplomatik Uzbekistan dan Malaysia bermula pada 1992.


pilihan raya, Uzbekistan

Artikel Lain