FLORIDA: Seorang wanita maut selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan dadah yang disembunyikan pada vaginanya di sebuah hospital di Amerika Syarikat, awal minggu ini. April Rollinson adalah seorang daripada empat yang ditahan kerana kesalahan dadah pada 16 Disember lalu. Ketika menjalani pemeriksaan imbasan sebelum dimasukkan ke penjara, pegawai bertugas mengesan sesuatu yang aneh pada bahagian liang peranakannya itu, lapor wfla.com. Berikutan itu, dia dibawa ke Pusat Perubatan Serantau Bartow di sini untuk mengeluarkan benda asing dalam badannya itu. Ketika berada di pusat perubatan itu, Rollison selamat menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bungkusan kokain pada vaginanya dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil untuk dihantar semula ke pusat tahanan. Bagaimanapun sebaik tiba di penjara, keadaan Rollison bertukar menjadi cemas dan terpaksa dihantar semula ke pusat perubatan berkenaan untuk rawatan lanjut. Wanita itu berada dalam keadaan kritikal sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 10.45 malam, 22 Disember lalu. Pemeriksaan awal menunjukkan Rollison disahkan positif methamphetamin, amphetamin, kokain dan ganja. Menurut ahli keluerganya, Rollison mengalami masalah ketagihan dadah sejak berusia 12 tahun. Mayatnya akan dibedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya.