JAKARTA: Kementerian Pengangkutan Indonesia telah memulakan usaha mencari dan menyelamat pesawat AirAsia, QZ8501 yang dilaporkan hilang sejak pagi Ahad. Pegawainya, Hadi Mustofa memberitahu MetroTV Indonesia, pesawat yang membawa seramai 162 penumpang terputus hubungan dengan menara kawalan selepas berlepas selama 42 minit dari lapangan terbang Surabaya. Pesawat itu dilaporkan berlepas pada pukul 5.35 pagi (waktu Indonesia) iaitu 6.35 pagi waktu Malaysia. Menurut Mustofa, nasib seramai 155 penumpang dan tujuh anak kapal masih belum diketahui sehingga ini. Katanya, pesawat itu dikesan hilang di perairan berhampiran Kalimantan.