SAMA seperti MH370, pesawat AirAsia, QZ8501 juga hilang dari radar tanpa memberi sebarang isyarat kepada menara kawalan udara, lapor mirror.co. Selepas beberapa jam penerbangan yang membawa seramai 162 penumpang itu hilang, pakar penerbangan mula melihat persamaan dengan kejadian MH370 yang masih gagal dikesan sehingga kini. Pesawat AirAsia Indonesia daripada jenis AirBus 320-200 itu membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal ketika hilang dari radar pada Ahad. "Tiada sebarang isyarat kecemasan dihantar," kata pegawai Kementerian Pengangkutan Indonesia, Joko Muryo Atmodjo. Penumpang di dalam pesawat tersebut terdiri daripada 155 warga Indonesia, tiga Korea Selatan dan masing-masing satu dari Malaysia, Singapura dan juruterbang warga Perancis. Seorang pakar penerbangan, Peter Stuart Smith berkata, aneh apabila QZ8501 tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan kepada pusat kawalan udara. "Walaupun kita menganggap pesawat itu musnah di udara atau juruterbang hilang kawalan, namun masih terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab. "Jelas sekali bahawa tanggungjawab utama juruterbang apabila hendak berlepas ialah berkomunikasi dengan menara kawalan dan ia hanya perlu menekan satu butang untuk bercakap. "Ia akan hanya mengambil masa beberapa saat untuk menghantar isyarat 7700 (kecemasan) pada kotak SSR dan ia akan menghantar isyarat kepada ATC jika terdapat sebarang masalah," katanya. Berikutan kehilangan MH370 dan QZ8501, pakar mula hairan dan berfikir mengapa juruterbang yang berada dalam sebuah pesawat moden tidak menghantar sebarang isyarat sebelum hilang. Bagaimanapun pakar penerbangan yakin bahawa pesawat itu akan ditemui secepat mungkin.