BRUSSELS: Eropah kini diletakkan pada tahap kawalan keselamatan tertinggi pada Isnin apabila dalang yang merancang untuk melancarkan serangan berdarah di Belgium masih bebas. Minggu lalu, hasil maklumat risikan, polis Belgium bertindak menyerbu 'sarang' kumpulan militan di negara itu sebelum serangan itu dilancarkan. Ketua kumpulan militan itu, Abdelhamid Abaaoud dianggap dalang yang merancang pembunuhan anggota polis negara itu masih bersembunyi. Sehubungan itu, pasukan keselamatan seluruh Eropah diarah untuk melakukan kawalan lebih ketat di semua pintu masuk dan juga lokasi yang dipercayai sebagai pusat kegiatan kumpulan militan. Bagaimanapun, pengumuman pihak pendakwa raya negara itu untuk mengekstradisi suspek yang ditahan di Athens pada Sabtu kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan di Belgium menunjukkan perkembangan positif. Susulan itu, Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) dijangka mengadakan pertemuan di sini untuk membincangkan langkah terbaik memerangi ancaman kumpulan itu yang pulang dari Iraq dan Syria. Pertemuan itu diadakan berikutan kejadian berdarah di Perancis dan operasi anti pengganas di Belgium yang silih berganti baru-baru ini. CNN melaporkan mesyuarat pada Isnin itu sebagai persiapan awal untuk kepimpinan berkenaan sebelum menghadiri sidang kemuncak memerangi pengganas pada 12 Februari ini. Di Jerman pula, polis mengharamkan demonstrasi yang dirancang kumpulan anti Islam, Pegida, selain perhimpunan di bandar Dresden yang terletak di timur negara itu kerana mendapati ada ancaman serangan terhadap pemimpinnya. Media tempatan pula melaporkan, ancaman itu berpunca dari kumpulan berpangkalan di Syria dan Iraq dan menyasarkan pemimpin Pegida, Lutz Bachman. Perhimpunan yang digerakkan Pegida dikatakan mendapat sambutan apabila mencatat rekod 25,000 peserta minggu lalu sebaik kejadian serangan di Paris yang keseluruhannya mengorbankan 17 nyawa. Bagaimanapun, mahkamah di Perancis pada Ahad menghalang perhimpunan oleh kumpulan anti Islam di Paris kerana ia dikatakan boleh menyebarkan Islamofobia.