suria

Hamba Seks: Penafian Punca Putera Andrew Terus Diasak

Putera Andrew dikatakan mengenali Roberts menerusi rakannya, Epstein pada 2001.

FLORIDA: Gadis warga Amerika Syarikat yang mendakwa menjadi 'hamba seks' bawah umur dan dipaksa tidur dengan Putera Andrew terus memperjuangkan haknya apabila mengemukakan dokumen baharu di Mahkamah Palm Beach, Florida.

Virginia Roberts bertindak sedemikian menerusi peguamnya selepas putera diraja Britain itu enggan menerima surat terdahulu dan kali ini dia mahu Putera Andrew bekerjasama dan sedia disoal siasat berhubung dakwaan itu.

Gadis berusia 31 tahun itu juga 'menyerang' Duke of York menerusi dokumen itu akibat bengang dengan putera berusia 54 tahun itu yang menafikan semua perlakuan terhadapnya.

"Penafian itu palsu dan ia melukakan hati saya. Sememangnya saya pernah mengadakan hubungan seks dengannya seperti mana yang digambarkan...dan ketika itu saya bersumpah akan bercakap benar."

Sebelum ini, Istana Buckingham berkata; “Apa jua dakwaan perlakuan sumbang membabitkan Putera Andrew dengan gadis bawah umur adalah tidak benar”.

Gadis itu yang dikenali dalam dokumen perundangan sebagai ‘Jane Doe #3’ mendakwa di mahkamah bahawa dia disimpan sebagai ‘hamba seks’ oleh kenalan kepada putera itu iaitu Jeffrey Epstein.

Bagaimanapun Epstein dan Putera Andrew menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.

Roberts mendakwa mula menjadi hamba seks kepada Andrew ketika berusia 17 tahun pada 2001 sambil mengakui: "Apa sahaja yang Putera Andrew inginkan, saya akan pastikan beliau memperolehnya."

Lebih memburukkan keadaan apabila Putera Andrew kini berada di Davos, Switzerland untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia dan berita mengenai dokumen terbaharu yang dikemukakan Roberts diketahui ketika beliau dalam rangka lawatan rasmi untuk menyampaikan ucapan kepada pemimpin perniagaan seluruh dunia.






Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain