RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz, mangkat pada usia 90 tahun akibat penyakit radang paru-paru pada 22 Januari 2015. Ketika hayatnya baginda merupakan merupakan seorang pemerintah yang lantang memerangi kumpulan Al-Qaeda dan berusaha memodenkan pentadbiran diraja ultra konservatif Islam di Arab Saudi termasuk memberi peluang lebih besar kepada wanita. Dalam satu kenyataan diraja yang diterbitkan Agensi Saudi Press berkata, baginda mangkat pada jam 1 pagi Jumaat. Adik tiri baginda, Putera Salman, 79, diumumkan sebagai pengganti beliau. Salman adalah putera mahkota ketika Abdullah memerintah dan baru-baru ini beliau telah mengambil alih tanggungjawab pemerintahan berikutan keadaan gering baginda. Bekas ketua perisikan Arab Saudi, Puteri Muqrin, 69, yang juga adik tiri kepada kedua-dua Raja Salman dan Abdullah, diumumkan sebagai putera mahkota keluarga diraja itu. Berperanan lebih daripada penyandangnya yang konservatif, Raja Abdullah yang merupakan keluarga paling kaya dan berpengaruh di Arab Saudi itu, sentiasa berusaha membentuk negaranya keluar daripada kepompong biasa. Keutamaannya adalah untuk membalas pengaruh negara lawan, terutama Syiah di Iran apabila ia cuba menunjukkan kekuasaannya. Baginda dan keluarga diraja Arab Saudi itu juga secara lantang dan tegas membantah kebangkitan gelombang pro-demokrasi Asia Barat, melihatnya sebagai ancaman terhadap kestabilan dan pemerintahan mereka. Di peringkat serantau, keutamaan terbesar Raja Abdullah adalah untuk berdepan Iran, kuasa utama Syiah di seluruh negara Teluk. Baginda menyokong penduduk Sunnah Islam menentang sekutu Tehran di beberapa negara di mana konflik itu mencetuskan perasaan benci antara penduduk Sunnah-Syiah, paling ketara dalam perang saudara Syria, di mana kedua-dua negara menyokong pihak masing-masing. Konflik terbabit sebaliknya meningkatkan kebangkitan militan yang mengancam Arab Saudi. Raja Abdullah dilantik sebagai putera mahkota pada 1982, pada hari abang tirinya, Raja Fahd mengambil alih takhta. Baginda menjadi pemerintah de facto pada 1995 apabila Raja Arab Saudi itu diserang strok. Abdullah sekian lama dipercayai kesal dengan pakatan yang dijalin dengan Amerika Syarikat dan menekan Washington menarik balik tenteranya yang dikerah ke Arab Saudi sejak pencerobohan Iraq pada 1990 ke atas Kuwait. Amerika akhirnya berbuat demikian pada 2003. Baginda kerap kecewa dengan kegagalan Washington menjadi orang tengah bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin dan pada tahun 2000 selain meyakinkan Liga Arab bersetuju berdamai dengan Israel jika ia menarik diri daripada tanah Palestin yang didudukinya pada 1967. Baginda juga menekan pentadbiran Obama supaya mengambil pendirian lebih tegas ke atas Iran dan menyokong kuat pemisah Sunnah yang berjuang menggulingkan Presiden Syria, Bashar Assad. Abdullah yang dilahirkan di sini pada 1924, adalah seorang daripada berpuluh anak lelaki pengasas Arab Saudi, Raja Abdul-Aziz A Saud dan seperti mana anak lelakinya yang lain, baginda hanya menerima pendidikan asas. Asuhan tegas yang diterimanya ditunjukkan apabila baginda dipenjara tiga hari sebagai anak muda sebagai hukuman oleh bapanya kerana gagal memberi tempat duduknya kepada seorang pelawat, pelanggaran kepada sikap mesra puak Badwi. Baginda mempunyai matlamat memodenkan pentadbiran diraja itu untuk masa depan. Sebagai satu daripada pengeksport terbesar minyak dunia, Arab Saudi sememangnya terkenal amat kaya namun wujud jurang meluas antara golongan kaya dan anak muda yang memerlukan pekerjaan, perumahan dan pendidikan. Lebih daripada separuh penduduknya yang berjumlah 20 juta itu berusia bawah 25 tahun. Baginda adalah penyokong kuat pendidikan, membina universiti di tanah air dan menambah pemberian biasiswa untuk pelajar tempatan. Mungkin baginda adalah pemecah tradisi wanita di mana kali pertama memberi kerusi dalam Majlis Syura, badan tidak rasmi yang menasihatkan raja dan kerajaan. Baginda berjanji wanita boleh mengundi dan bertanding dalam pilihan raya tahun ini untuk majlis perbandaran, satu-satunya pilihan raya diadakan dalam negara itu. Abdullah melantik timbalan menteri wanita pertama pada 2009 dan dua atlit wanita bertanding dalam sukan Olimpik buat pertama kali pada 2012, selain segelintir wanita dibenarkan bekerja sebagai peguam ketika pemerintahannya. Satu daripada projek cita-cita tingginya ialah universiti ala Barat yang menggunakan namanya, Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah yang dibuka pada 2009. Lelaki dan wanita berkongsi bilik kelas serta belajar bersama di dalam kampus, satu pembaharuan besar di sebuah negara di mana perbualan kecil antara kedua-dua jantina di khalayak ramai boleh dikenakan tindakan daripada polis agama. Biodata ringkas Raja Abdullah Raja Abdullah merupakan anak ke-13 daripada 45 anak lelaki Raja Abdulaziz. Baginda diputerakan pada Ogos 1924, di Riyadh. Pada 1962, beliau telah dilantik sebagai Komander Pengawal Keselamatan Saudi pada 1963. Dilantik sebagai Putera Mahkota dan Timbalan Perdana Menteri pertama pada 1982 selepas Raja Fahd menggantikan Raja Khalid. Menaiki tahkta sebagai Raja Arab Saudi pada Ogos 2005 selepas kemangkatan Raja Fahd. Ketika memerintah beliau membenarkan wanita di negara itu keluar bekerja. Baginda juga membenarkan rakyat dan pihak tertentu sedikit kritikan terhadap kerajaan pimpinannya dan membiarkan ia disiarkan di dalam akhbar.