suria

Sujud Sambut 'Pembebasan' Calon Ketua Polis Indonesia

Sebilangan anggota polis sujud syukur selepas mahkamah membenarkan calon Ketua Polis Indonesia mencabar badan antirasuah negara itu.

SEKUMPULAN anggota polis melakukan sujud syukur di luar bangunan mahkamah di Jakarta Selatan, Isnin sejurus selepas hakim membenarkan permohonan pegawai kanan pasukan keselamatan itu mencabar sekatan badan antirasuah Indonesia.

Beberapa detik selepas perkhabaran itu diterima seorang daripada anggota bertugas berkata: "Ayuh turun sujud! Allahu Akbar, Allahu Akbar!"

Arahan itu terus diikuti anggota polis dari Balai Polis Metro Jaya dengan melutut dan sujud ke jalan, walaupun di sesetengah tempat ia digenangi air hujan.

Seorang daripada mereka juga menawarkan bantuan memotong rambut sebagai tanda kesyukuran apabila mahkamah memihak kepada Budi Gunawan dalam kes mencabar Suruhanjaya Antirasuah Indonesia.

Sebelum ini nama Budi dicalonkan oleh Presiden Joko Widodo sebagai Ketua Polis Indonesia menggantikan Jeneran Sutarman.

Pelbagai pihak menyatakan rasa kurang senang dengan pelantikan itu kerana Budi adalah bekas pegawai yang bertugas untuk Megawati Sukarnoputri ketika dia menjadi Presiden Indonesia.

Megawati adalah Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan dan Jokowi bertanding dalam pilihan raya presiden negara itu menggunakan tiket parti berkenaan.

Suruhanjaya Antirasuah Indonesia kemudian menamakan Budi sebagai suspek dalam siasatan kes rasuah membabitkan salah laku dan guna kuasa apabila akaun pegawai kanan polis itu didapati meragukan.

Tindakan agensi itu secara automatik menghalang kerajaan melantik Budi.

Dia kemudian membawa kes itu ke mahkamah.

Dengan keputusan itu, secara teknikalnya Budi kini bebas dilantik sebagai Ketua Polis Indonesia.

Artikel Sebelum

Balas Dendam: Mesir Serang Libya

Artikel Berikut

Artikel Lain