KAHERAH: Mesir melancarkan serangan udara di Libya dengan menyasarkan kumpulan Negara Islam (IS) bagi membalas dendam terhadap tindakan militan itu menyembelih 21 rakyatnya yang beragama Kristian. Mesir berkata, campur tangan tegas dari pihak lain turut diperlukan ketika ini manakala Perancis meminta Majlis Keselamatan PBB mengambil langkah baru dalam menangani IS. Gambar sasaran yang berjaya diletupkan didedah oleh Mesir. Menerusi serangan udara itu, Mesir dilapor telah memulakan pertempuran baharu dengan IS selepas bertempur dengan kumpulan berkenaan di Sinai sejak bekas Presiden, Mohamed Morsi digulingkan pada Julai 2013. Dalam pertempuran di Sinai, berpuluh-puluh tentera Mesir dan pejuang IS dilaporkan terkorban. Serangan udara yang menyasarkan gudang senjata dan kem pejuang itu dimulakan selepas beberapa jam video penyembelihan rakyat Mesir dimuat naik ke laman web IS. Tentera Udara Libya mendedahkan, seramai 50 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan itu manakala pihaknya turut melancarkan serangan terhadap IS.