suria

Penerbangan Ditangguh Akibat Ribut Salji Di Istanbul

ISTANBUL: Ribut salji mengakibatkan penerbangan di lapangan terbang utama Istanbul terpaksa ditangguhkan pada Rabu dan turut menyebabkan penutupan laluan utama kapal bagi penghantaran utama bijirin dan minyak untuk Rusia di Selat Bosphorus, kata pegawai Turki.

Ribut itu yang melanda bandar yang diduduki kira-kira 15 juta orang juga menyebabkan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke tempat kerja. Malah pasukan bola sepak Besiktas turut terkandas di lapangan terbang, di mana pasukan Istanbul itu dijadualkan bermain dengan Liverpool di Britain pada Khamis.

Kesemua penerbangan di Lapangan Terbang Ataturk ditunda dan tidak dapat dipastikan bila ia akan disambung semula, kata pegawai agensi lapangan terbang. Syarikat penerbangan keempat terbesar di Eropah, Turkish Airlines berkata, ia terpaksa membatalkan 200 penerbangan pada Rabu dan Khamis.

Syarikat penerbangan dengan tambang lebih rendah, Pegasus turut membatalkan beberapa penerbangannya di lapangan terbang Istanbul.

Selat Bosphorus, yang memisahkan Istanbul di antara daerah Asia dan Eropah, ditutup di kedua-dua arah pada pukul 8.10 pagi waktu tempatan.

Sekurang-kurangnya 13 kapal sedang menunggu untuk memasuki selat itu dan kini dijadualkan akan membuat pelayaran pada Khamis, kata ejen perkapalan GAC. Ia berkata, Dardanelles di penghujung Laut Marmara kekal dibuka.

Pihak berkuasa maritim terpaksa menutup Bosphorus beberapa kali berikutan jarak penglihatan yang terhad dalam cuaca sejuk akan memberi risiko kepada kapal yang melaluinya. 

Menurut Datuk Bandar Istanbul, jalan-jalan yang disaluti salji mengakibatkan lebih 800 kemalangan lalu lintas sejak lewat Selasa. - REUTERS



Istanbul, ribut salji

Artikel Lain