QUEENSLAND: Australia dibadai dua ribut taufan, Marcia dan Lam pada Jumaat mengakibatkan beribu-ribu penduduk berhadapan kesukaran apabila sejumlah besar rumah musnah, pokok tumbang dan talian elektrik terputus sama sekali. Bencana alam yang melanda itu turut menyebabkan keadaan laut bergelora, hujan lebat dan angin kencang dengan kelajuan sehingga 295 kilometer sejam. Situasi cemas itu dialami sepanjang pesisir pantai di sini, manakala gelombang ribut dijangka meningkatkan paras laut sehingga tiga meter lebih tinggi berbanding biasa. Selepas kehadiran ribut taufan Lam di wilayah utara Australia, tiba pula pula ribut kategori lima, ribut tropika Marcia yang membadai pantai Queensland selepas pukul 6 pagi waktu Australia Barat, pada Jumaat. Laporan AFP menyebut, Ketua wilayah Queensland, Annastacia Palaszczuk berkata, belum ada kerosakan besar di bandar Yeppoon dan Rockhampton. Bagaimanapun, Palaszczuk bimbang jumlah talian elektrik yang terputus akibat Marcia meningkat. Pihak berkuasa sebelum ini menjangkakan Yeppoon akan berdepan dengan kekuatan ribut tersebut tetapi Palaszczuk memaklumkan bandar itu hanya terkena tempias ketika ribut itu bergerak ke arah Rockhampton yang didiami 80,000 penduduk. Bandar Yeppoon bagaimanapun mengalami kerosakan seperti bumbung tercabut dan beberapa rumah musnah termasuk ada melayang ke laut, selain lebih 30,000 penduduknya terputus bekalan elektrik. Marcia pula mula melanda pekan Shoalwater Bay dengan 16,000 penduduk kira-kira 670 kilometer dari Brisbane sebelum diturunkan ke kategori tiga. Ribut tersebut semakin lemah dalam perjalanannya ke selatan Australia tetapi masih cukup kuat untuk meranapkan talian elektrik dan pokok sepanjang Rockhampton. Kesan ribut ini juga disiarkan Rangkaian Channel Nine Australia termasuk rakaman ikan jerung yang terdampar di pantai akibat ombak kuat. Situasi yang melanda Australia itu menyebabkan berpuluh-puluh sekolah dan perniagaan ditutup, manakala jadual penerbangan tempatan dibatalkan.