JAKARTA: Presiden Indonesia mengesahkan jadual pelaksanaan hukuman mati ke atas 11 banduan yang majoritinya kerana kesalahan dadah tidak akan ditangguhkan. Sehubungan itu, Joko Widodo atau Jokowi mengingatkan negara asing supaya tidak campur tangan terhadap hak Jakarta melaksanakan hukuman mati seperti termaktub dalam undang-undangnya. Katanya, Jakarta sangat bertegas menolak sebarang gangguan dari negara luar terhadap hak Indonesia melaksanakan hukuman mati. “Kami berhak menjalankan undang-undang kami,” katanya kepada media. Sebelum ini Jokowi menolak permohonan banduan terbabit, termasuk pesalah warga asing yang menunggu masa untuk menjalani hukuman mati di penjara. Ketegasan itu mendapat tentangan daripada pemimpin asing, termasuk dari Australia, Brazil dan Perancis. Jokowi mendedahkan, dia mendapat panggilan telefon daripada pemimpin Perancis, Brazil dan Belanda sebelum ini tetapi tidak menyebut mengenai Australia. Dua daripada banduan terbabit ialah warga Australia. Indonesia memperuntukkan hukuman mati bagi pesalah dadah dan ia kembali dilaksanakan pada 2013 selepas kali terakhir ia dilakukan lima tahun sebelumnya.