suria

Hukuman Mati: Alcatraz Indonesia Siap Sedia

CILACAP: Pelbagai persediaan untuk melaksanakan hukuman mati terhadap kumpulan kedua banduan membabitkan kesalahan dadah kini sudah 90 peratus siap.

Rakan senegara Australia yang masih gagal dalam permohonan rayuan, Andrew Chan and Myuran Sukumaran termasuk 10 banduan yang akan berhadapan dengan skuad penembak yang melaksanakan hukuman itu.

Proses menyiapkan sel pengasingan untuk anggota kumpulan Bali Nine itu dijangka siap sepenuhnya pada Sabtu.

Mereka akan dibawa dari penjara Kerobokan di Bali ke Nusakambangan, sebuah pulau terpencil untuk menjalani hukuman itu.

Pengangkutan yang digunakan untuk membawa banduan ke Pulau Nusakambangan bagi menjalani hukuman mati.

Setakat ini, Peguam Negara, H.M Prasetyo belum mengumumkan tarikh yang ditetapkan untuk melaksanakan hukuman itu atau bila Chan dan Sukumaran akan dipindahkan ke Nusakambangan atau lebih dikenali sebagai Alcatraz Indonesia.

Jurucakap pejabat Peguam Negara, Tony Spontana berkata, hukuman mati itu akan dijalankan serentak terhadap semua 10 banduan.

Sehingga kini, pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa cadangan lokasi untuk melaksanakan hukuman mati itu.

Sementara itu, Ketua Pusat Koreksi Jawa Tengah, Ahmad Yuspahruddin berkata, sel pengasingan dalam proses akhir untuk siap sepenuhnya.

"Ia bukannya bangunan kekal, tetapi sel sementara yang memisahkan antara banduan yang akan menjalani hukuman mati daripada banduan lain," katanya.

Selain pihak pusat tahanan, paderi, pegawai perubatan dan pembuat keranda juga menunggu pengumuman tarikh hukuman mati itu untuk melaksanakan tugas masing-masing.

Bagi pembuat keranda, Suhendro Putro turut menyediakan keranda bersaiz besar yang sesuai dengan ukuran Sukumaran.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain