SEOUL: Korea Utara melancarkan tujuh tembakan peluru berpandu ke laut pantai timur negara itu dalam operasi yang diselia oleh pemimpin tertingginya Kim Jong-Un, kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan. Jurucakap kementerian berkata, Kim dilaporkan memberi arahan ketika peluru berpandu dilepaskan awal petang Khamis di kawasan berhampiran bandar timur Sondok. Latihan tersebut berlaku ketika ketegangan antara kedua-dua negara apabila Korea Utara mengutuk latihan kententeraan Korea Selatan-Amerika Syarikat baru-baru ini. "Kami melihat satu lagi pertunjukan latihan ketenteraan Korea Utara," kata jurucakap itu. Satu lagi latihan yang boleh menjadi kekuatan tentera tersebut akan dijalankan pada Jumaat ini tetapi latihan ketenteraan terbesar 'Foal Eagle' akan berterusan sehingga 24 April. Latihan tahunan sentiasa mencetuskan ketegangan ketenteraan antara kedua-dua itu. Pada 1950 sehingga 1953 konflik Korea berakhir dengan gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai. Pada awalnya, Korea Utara memberi isyarat tidak berpuas hati bagi latihan tahun ini dengan melepaskan dua tembakkan peluru berpandu balistik pada jarak yang dekat di pantai timur. Resolusi PBB mengharamkan apa-apa ujian peluru berpandu balistik oleh Korea Utara.