suria

Pesawat Air Canada Terbabas, 23 Cedera

MONTREAL: Seramai 23 penumpang mengalami kecederaan apabila pesawat Air Canada melanggar antena dan terbabas ketika cuba melakuan pendaratan di Lapangan Terbang Halifax yang dilanda ribut salji, Ahad.

Kemalangan ini berlaku lima hari selepas kejadian seorang juruterbang menjatuhkan pesawat Germanwing di pergunungan Alps, Perancis,- mengorbankan dirinya serta 149 penumpang dan anak kapal.

Pesawat Air Canada yang terlibat dalam kemalangan ini merupakan Airbus A320.

"Pesawat AC624 dari Toronto keluar dari landasan semasa percubaan untuk mendarat di Halifax," kata pihak Air Canada yang menerangkan kejadian tersebut menerusi laman sosial Twitter.

Pihak penerbangan tersebut juga menyiarkan gambar yang menunjukkan bahagian depan pesawat yang rosak dan menerangkan tentang kerosakan gear pendaratan serta enjin.

Salah seorang penumpang menerangkan pesawat tersebut mengelilingi lapangan terbang sebelum membuat pendaratan dan berlaku impak yang kuat semasa mendarat.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian ini tetapi ribut salji melanda bahagian timur bandar Kanada dan Pusat Alam Sekita Kanada telah mengeluarkan amaran mengenai tahap penglihatan rendah akibat ribut salji.

Penyiasat Lembaga Keselamatan Pengangkutan, Mike Cunningham memberitahu, pesawat itu melanggar antena yang berada 350 meter di luar kawasan landasan.

"Pesawat itu rosak teruk akibat kemalangan yang berlaku," tambah beliau.

Menurut Air Canada, seramai 133 penumpang serta lima anak kapal berada dalam pesawat tersebut.

Pihak penyiasat telah menemui kotak hitam pesawat tersebut untuk membuat analisis diantara bahagian kokpit dan kawalan trafik udara serta data penerbangan.

Air Canada

Artikel Lain