SEORANG pelancong warga Australia bernasib baik apabila dapat melepaskan diri daripada dibaham singa yang menyerang kakinya melalui tingkap kereta. Brendan Smith diserang seekor singa semasa menerokai hutan Safari di Jonhannnesburg, Afrika. Smith menerusi laman sosial Facebooknya mendakwa, ketika kejadian, dia baru tiba di Afrika untuk melawat hutan tersebut. "Saya baru berada di sini selama 36 jam dan kini saya berada di hospital kerana diserang seekor singa yang menggigit kaki saya," katanya. "Saya mengalami kecederaan tapi bernasib baik kerana masih hidup dan orang ramai di sini juga kelihatan teruja untuk bertemu dengan saya setelah apa yang berlaku". "Kejadian itu boleh mengancam nyawa saya tapi kecederaan yang dialami tidak begitu teruk dan para wanita akan terpegun melihat kesan parut ini". Smith juga menyiarkan beberapa gambar semasa berada di hutan Safari itu. Salah satu gambar menunjukkan kesan gigitan yang besar di bahagian kaki, dan terdapat beberapa gambar sekumpulan singa yang sedang duduk di atas rumput.