ISTANBUL: Turki pada Isnin menyekat akses Twitter dan YouTube berikutan penyebaran gambar seorang pendakwa raya warga Turki yang diacukan pistol oleh seorang anggota kumpulan militan beberapa jam sebelum dibunuh dalam satu insiden tembakan pada minggu lalu, kata pegawai. Jurucakap presiden, Ibrahim Kalin berkata, pihak pendakwa memohon sekatan ke atas laman media sosial kerana segelintir organisasi media bertindak "seolah-olah mereka propaganda pengganas" dengan berkongsi gambar-gambar tersebut. "Ini (sekatan) ada kaitan dengan penyebaran gambar pendakwa raya. Apa yang berlaku selepas itu (pembunuhan pendakwa raya) adalah sesuatu yang perit sebagaimana insiden tersebut," kata Kalin. "Permohonan daripada pejabat pendakwa adalah imej tersebut tidak boleh digunakan dalam mana-mana platform elektronik," katanya pada sidang media di Ankara. Sekatan terhadap dua laman sosial pada Isnin berlaku kurang seminggu selepas seorang pendakwa raya Turki yang dijadikan tebusan oleh anggota Parti Barisan Revolusi Pembebasan Rakyat (DHKP-C) meninggal dunia. Sementara itu, seorang pegawai kanan Turki memberitahu Reuters: "Isteri dan anak-anak pendakwa raya itu amat sedih dengan penyebaran gambar berkenaan." Turki sebelum ini pernah menyekat akses kedua-dua laman berkenaan buat sementara semasa pilihan raya yang diadakan pada Mac tahun lalu, selepas satu pendedahan rakaman audio berhubung dakwaan rasuah melibatkan Tayyip Erdogan yang merupakan perdana menteri ketika itu. Tahun lalu, Turki memperketatkan undang-undangnya bagi membolehkan laman sosial mudah disekat oleh pihak berkuasa. - REUTERS