MUMBAI: Sekurang-kurangnya 30 petani India dilaporkan membunuh diri sejak seminggu lalu selepas hujan lebat memusnahkan ratusan hektar tanaman sebelum sempat dituai. Menurut laporan media, kejadian berlaku di kawasan utara negara berkenaan. Biro kaji cuaca India berkata, Mac lalu mencatatkan kadar hujan tertinggi dalam tempoh 100 tahun. Pegawainya berkata, dianggarkan secara keseluruhan berjuta-juta hektar tanaman pertanian rosak atau musnah akibat hujan lebat di seluruh negara, terutama di Delhi, Haryana, Punjab dan Rajasthan. Kerajaan negeri Uttar Pradesh, Haryana, Punjab dan Madhya Pradesh pula melaporkan, mereka belum dapat mengesahkan kes bunuh diri yang berkaitan dengan kerosakan tanaman itu. Bagaimanapun, seorang petani di pinggir New delhi berkata, keadaan semakin buruk dan mereka tidak mampu berbuat apa-apa. “Kami tidak ada tempat mengadu dan pada masa sama, kami tidak yakin kerajaan mampu membantu. “Kami terpaksa bergelut untuk meneruskan hidup mengikut kemampuan yang ada,” katanya. Kejadian membunuh diri ekoran kerugian ditanggung bukan sesuatu yang asing di India. Jurucakap kerajaan Delhi berkata, mereka pernah berdepan pengalaman melihat kekecewaan petani yang menanggung kerugian. “Ia tidak semestinya disebabkan hujan. Kadang-kadang kemarau atau ribut juga memusnahkan tanaman dan petani menanggung kerugian besar. “Sebahagian daripada mereka pula menanggung hutang dan berharap hasil pertanian itulah yang akan membantu membayar hutang itu,” katanya. Sementara itu, penganalisis berpendapat, kerajaan Narendra Modi berdepan risiko jika gagal menangani isu kerugian dialami petani di India. “Modi perlu ingat, dia memenangi pilihan raya umum tahun lalu hasil sokongan petani dan tahun ini mereka mengharapkan beliau melakukan sesuatu bagi menyelamatkan keadaan,” katanya.