SEORANG bayi yang menangis diarahkan keluar dari sebuah pesawat bersama ibu bapanya selepas kanak-kanak berusia 19 bulan itu dianggap mengancam keselamatan. Portal Mirror melaporkan, bayi berkenaan, Sarina Aziz yang meronta-ronta sambil menangis menyebabkan kru kabin meminta salah seorang daripada ibu bapanya supaya memangku anak mereka dengan memasangkan tali pinggang keledar yang disediakan untuk dua orang. Bagaimanapun sewaktu pesawat dibawa ke landasan untuk berlepas dari Tel Aviv, Israel ke Luton, London, ibu bapa bayi berkenaan, Ariella dan Mark, masing-masing masih tidak dapat menenangkan anak mereka yang 'tidak duduk diam' sehingga menyebabkan ketua kru kabin mengisytiharkannya sebagai 'insiden keselamatan'. Mirror yang memetik laporan Jewish News, juruterbang itu kemudiannya membawa pesawat kembali ke lapangan terbang bagi membolehkan skuad polis anti keganasan mengarahkan keluarga berkenaan keluar dari pesawat tersebut. Bercakap mengenai insiden itu, Ariella berkata: "Ia seperti satu insiden pengganas. Saya seakan tidak percaya." "Apa yang anda tahu selepas itu ialah kami semua berada di dalam kenderaan skuad yang membawa kami kembali ke Ben-Gurion (lapangan terbang)." Ariella mengutuk tindakan syarikat penerbangan Belanda, Transavia kerana bersikap tindakan melulu yang tidak profesional. "Semua dapat lihat kami cuba untuk menenangkan Sarina tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa," katanya. "Dia menjerit, menangis dan tidak duduk diam. Dia dalam keadaan seperti itu kerana dia sakit. "Pramugari memang keterlaluan, mereka langsung tidak membantu." Seorang jurucakap bagi syarikat penerbangan itu berkata, Sarina "tidak berkelakuan baik" dan tidak mengikuti peraturan dengan meletakkannya di kerusi menggunakan tali pinggan keledar. Tambahnya: "Kami tidak boleh menerbangkan pesawat sekiranya mereka tidak mengikut peraturan." - Mirror