SEORANG pramugara dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah menyeludup pasport palsu yang disembunyikan pada seluar dalamnya. Portal Mirror melaporkan Shaukat Ali Cheema, 59, ditahan menyeludup 26 pasport, 37 muka surat biodata pasport dan 13 lesen memandu pada seluar dalamnya. Pegawai berkuasa sempadan menahan pramugara bagi sebuah syarikat penerbangan di Pakistan sewaktu dia melalui pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Birmingham, United Kingdom pada 22 Mac lalu. Memetik laporan Birmingham Mail, kesemua dokumen itu disimpan di dalam poket simpanan khas yang dijahit pada seluar dalamnya. Chema berhadapan dengan tujuh pertuduhan kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang palsu dengan tujuan tidak baik. Pramugara itu telah berkhidmat dengan syarikat penerbangan tersebut selama 40 tahun, mengaku bersalah dan disabitkan hukuman di Mahkamah Birmingham Crown. - MIRROR