MADRID: Kerajaan Sepanyol memberi permit penempatan sementara kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dari Ivory Coast yang cuba diseludup masuk ke negara itu oleh seorang wanita menggunakan sebuah beg pakaian. Adou Ouattara ditemui ketika pihak berkuasa membuat imbasan pada sebuah beg pakaian pada 7 Mei lalu di Ceuta, sebuah bandar di Sepanyol. Pejabat Kementerian Dalam Negeri berkata, permit penempatan sementara untuk budak itu dikeluarkan untuk tempoh setahun. Imej budak itu dalam beg pakaian berkenaan ketika diimbas polis mengejutkan ramai pihak. Tindakan tersebut menunjukkan sikap terdesak kumpulan migran untuk masuk ke Eropah. Ibu bapa budak itu tinggal secara sah di Sepanyol. Namun bapa kepada budak itu ditahan atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia kerana cuba menyeludup masuk anaknya. Peguam Francesco Luca Caronna bagaimanapun berkata bapa budak itu langsung tidak tahu mengenai rancangan membawa masuk anaknya di dalam beg pakaian. Beliau mengingatkan anaknya itu akan dibawa masuk menerusi kereta menggunakan visa yang sudah diperoleh. Justeru, peguam itu yakin hakim akan menerima penjelasan bapa budak itu sekali gus membebaskannya supaya keluarga itu dapat disatukan semula. Buat masa ini, kanak-kanak itu masih di bawah jagaan pusat perlindungan kanak-kanak di Ceuta. Seorang wanita warga Maghribi yang membawa budak itu di dalam beg pakaian turut ditahan bagi membantu siasatan.