suria

Lebih 400 Pelarian Rohingya Diselamatkan Nelayan Aceh

Nelayan Aceh yang kasihan melihat penderitaan pelarian Rohingya membantu menyelamatkan mereka.

BANDA ACEH: Sekurang-kurangnya 430 pendatang asing Rohingya dari Myammar termasuk 70 kanak-kanak dan bayi diselamatkan nelayan tempatan di luar pantai Aceh awal pagi Khamis.

Pasukan penyelamat dan kumpulan nelayan yang bertindak atas dasar perikemanusiaan itu membantu warga asing yang dipecahkan kepada dua kumpulan.

Jurucakap agensi pencari dan penyelamat, Khairul Nova berkata, kumpulan pertama seramai 102 orang dibawa ke pantai sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) dan dihantar ke sebuah perkampungan di timur daerah Aceh dan beberapa jam kemudian kumpulan seterusnya dibawa ke pelabuhan di timur Aceh.

AFP melaporkan, bot kayu hijau dinaiki pendatang asing itu adalah bot yang hilang sejak beberapa hari selepas diusir dari perairan Thailand.

“Bot tersebut terapung, enjinnya rosak menyebabkan nelayan yang menemui bos berkenaan berasa kasihan kepada mereka. Kebanyakan daripada mereka kelihatan sakit, mengalami simptom kekurangan air dan makanan,” kata salah seorang penyelamat, Sadikin.

Seorang nelayan, Teuku Nyak Idrus yang membantu dalam usaha menyelamat pelarian Rohingya itu memberitahu, ramai mangsa dalam keadaan tenat.

“Ramai yang sakit, malahan ada yang mendakwa beberapa rakan mereka mati akibat kelaparan,” ujarnya kepada AFP.

Usaha menyelamat dilakukan selepas menteri luar dari Malaysia, Thailand dan Indonesia yang bermesyuarat di Kuala Lumpur bagi membincangkan krisis pendatang asing di Asia Tenggara memutuskan untuk menghulurkan bantuan kepada warga asing terbabit.

Ribuan pendatang Rohingya Islam dari Myammar yang melarikan diri daripada penganiayaan kaum dan pendatang dari Bangladesh yang cuba keluar dari kemiskinan tiba di Aceh sejak beberapa hari selepas ditinggalkan oleh penyeludup pemerdagangan manusia.

Mereka adalah sebahagian daripada ribuan pendatang asing yang berjaya tiba ke Indonesia, Malaysia dan Thailand selepas ditipu oleh penyeludup akibat gangguan di laluan biasa pemerdagangan manusia. – AFP



Rohingya, Aceh, Khairul Nova

Artikel Berikut

Artikel Lain