BERLIN: Nenek berusia 65 tahun yang sebelum ini mendapat liputan meluas kerana hamil telah selamat melahirkan bayi kembar empat, sekali gus menjadikan anaknya kini seramai 17 orang. Annegret Raunigk yang sudah mempunyai 13 anak dan tujuh cucu menjalani pembedahan di Hospital Berlin untuk melahirkan tiga bayi lelaki dan seorang perempuan itu. Bayi pramatang itu dilahirkan ketika usia kandungannya 26 minggu dan kini berada dalam keadaan baik dan mempunyai peluang cerah untuk hidup. Sebelum ini, Annegret mempunyai anak yang berusia di antara sembilan hingga 44 tahun. Annegret ketika kehamilannya yang mencetuskan pelbagai kontroversi. Wanita bergelar nenak itu mengambil keputusan untuk mempunyai anak lagi selepas anak bongsunya inginkan adik. Sebelum ini, AP melaporkan Annegret hamil melalui kaedah IVF yang dilakukan di Ukraine kerana prosedur tersebut adalah diharamkan di Jerman. Annegret (kiri duduk) bersama keluarga besarnya. Keputusannya untuk melahirkan bayi di usia emas mendapat kritikan beberapa pakar perubatan kerana menganggap warga emas itu tidak mampu secara fizikal untuk mengandung empat bayi. Walaubagaimanapun, Annegret percaya setiap orang perlu diberi peluang untuk memilih jalan hidup yang diingininya.