suria

Lima Penerbangan Ke New York Terima Ancaman Bom, Senjata Kimia

Pesawat Air France yang mendarat cemas di Lapangan Terbang John F Kennedy di New York merupakan antara lima penerbangan yang menerima ancaman bom dan senjata kimia.

PIHAK berkuasa penerbangan menerima beberapa ancaman 'senjata kimia' dan bom di dalam pesawat melibatkan sekurang-kurangnya lima penerbangan ke New York.

Portal Mail Online melaporkan bahawa tiga amaran diterima berhubung 'senjata kimia' termasuk sebuah pesawat Air France yang terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang John F Kennedy (JFK) di New York pada pukul 10.17 pagi Isnin (10.17 malam Isnin waktu Malaysia).

Dua lagi ancaman 'senjata kimia' itu dimaklumkan menerusi panggilan telefon melibatkan pesawat American Airways dari Birmingham, England dan pesawat Delta dari Newark.

Mengenai ancaman bom, maklumat yang diterima itu melibatkan sebuah pesawat Saudi Airlines dari Jeddah yang kemudiannya selamat mendarat di JFK dan sebuah lagi merupakan pesawat kargo dalam penerbangan dari Newark.

Dua jet pejuang Amerika Syarikat (AS) diarahkan untuk memantau pesawat Air France dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Charles De Gaulle di Paris yang ketika itu sedang menghala ke New York.

Memetik laporan FOX5, sumber penguatkuasa bimbang ancaman-ancaman itu bertujuan untuk menganggu atau melewatkan penerbangan ke New York pada hari terakhir cuti umum sempena Hari Memorial. 

Artikel Lain