suria

Polis Thai Belum Buat Keputusan Benarkan Malaysia Soal Siasat Justo

Xavier Andre Justo.

BANGKOK: Polis Thailand masih belum memutuskan sama ada akan membenarkan polis Malaysia menyoal siasat warga Swiss, Xavier Andre Justo yang dituduh mengugut bekas majikannya, PetroSaudi International. 

Pihak berkuasa Thailand belum memutuskan perkara itu atas alasan Malaysia harus menggunakan saluran sewajarnya bagi mendapatkan maklumat diperlukan. 

Ketua Polis Negara Malaysia Tan Sri Khalid Abu Bakar mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya di sini, Khamis bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai Justo yang kini dalam tahanan pihak berkuasa Thailand.

Ketua polis Thailand, Jen Somyot Poompanmoung, selepas pertemuan dengan Khalid, berkata: "Kami tidak dapat memberi keputusan atau jawapan hari ini, tentang sama ada membenarkan (Polis Malaysia menginterbiu Justo) kerana kami perlu tahu sebab dan keperluannya, dan sama ada ia berkait dengan kes berkenaan. 

"Jika sekalipun kebenaran diberikan, kami perlu juga mempertimbangkan apa yang polis Malaysia boleh dan tidak boleh lakukan oleh kerana Justo bukan warga Malaysia dan tidak melakukan kesalahan di Malaysia," katanya.

Somyot berkata, polis Thailand perlu menyelesaikan siasatannya dahulu.  

Katanya, Justo berkemungkinan didakwa atas percubaan mengugut. 

Khalid ke Bangkok atas lawatan tidak rasmi dan mengadakan pertemuan selama 50-minit dengan Somyot pada pukul 2 petang. 

Somyot berkata, Khalid "tidak mahu menyebabkan polis Thai merasa tidak selesa" dan beliau memahami situasi kerana Justo warga Swiss bukan Malaysia. 

Lagipun, suspek tidak melakukan sebarang kesalahan di Malaysia. 

"Jika polis Thai membenarkan polis Malaysia menemui Justo, ini akan dikecam oleh kerajaan Switzerland. 

"Pegawai-pegawai Switzerland terlibat dalam kes berkenaan dan telah menghubungi polis Thai, serta menyediakan seorang peguam dan beberapa bantuan lain kepada Justo," kata Somyot. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain