WASHINGTON: Rusia dijangka menggunakan kuasa veto bagi menyekat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) untuk membicarakan pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 di Ukraine. Perkara itu dinyatakan beberapa diplomat Majlis Keselamatan itu susulan usaha Malaysia mengedarkan draf resolusi itu dan meminta proses pengundian dibuat Rabu depan. Resolusi itu akan mewajibkan semua negara untuk bekerjasama dengan tribunal khas itu atau menghadapi sekatan. Rusia dilihat tetap dengan pendirian untuk menentang resolusi itu dan kemungkinan menggunakan kuasa veto dimilikinya adalah tinggi. "Ia mungkin sukar untuk kita mencari titik persamaan," kata diplomat itu. Rusia membantah draf resolusi itu dan mahu siasatan sekarang diselesaikan dahulu. Sebelum ini, Malaysia, Belanda, Australia, Ukraine dan Belgium meminta tribunal antarabangsa ditubuhkan bagi menyiasat insiden menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) di timur Ukraine, Julai tahun lalu itu. Pesawat MAS MH17 ditembak jatuh pada Julai 2014 mengakibatkan semua 298 penumpang dan anak kapal terkorban. - AFP