ANKARA: Jet penggempur Turki menyasarkan kem militan Kurdis di utara Iraq, selain menyerang kedudukan Negara Islam di Syria. Serangan di Iraq iaitu yang pertama sejak perjanjian damai 2013 meletakkan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang sekutunya terbabit dalam pertempuran dengan IS sebagai sasaran utama. Tindakan itu dijangka merumitkan lagi perang yang diketuai Amerika Syarikat (AS) terhadap kumpulan berkenaan. AS bergantung kepada militia Kurdis untuk menumpaskan IS di Iraq dan Syria. “Serangan Turki itu pada asasnya menamatkan gencatan senjata dan perjanjian itu,” kata jurucakap PKK, Zagros Hiwa. PKK dianggap pertubuhan pengganas oleh Ankara dan sekutunya memerangi Turki untuk mendapatkan kuasa autonomi sejak 1984. Dalam satu kenyataannya, pejabat Perdana Menteri Turki berkata, serangan itu menyasarkan kubu dan kawasan logistik PKK, khususnya di kawasan pergunungan Qandil, tempat terletaknya pusat pemerintahan PKK. Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut secara khusus sasaran IS yang di serang, Jumaat. Menurut sumber kerajaan, tentera juga mengebom kedudukan IS dan PKK di Syria dari seberang sempadan. Turki mula menyerang kedudukan IS selepas serangan berani mati dan serang hendap kumpulan itu yang menyebabkan seorang tentera terbunuh. Ketegangan dengan etnik Kurdis memuncak selepas serangan pengebom berani mati di Suruc, bandar di tenggara Turki Isnin lalu yang menyebabkan 32 orang terbunuh. Kumpulan Kurdis menuduh kerajaan Turki bertanggungjawab kerana tidak melancarkan serangan terhadap IS. Beberapa hari kemudian, PKK mengaku membunuh dua polis Turki berhampiran Sanliurfa, bandar berhampiran sempadan Syria yang majoriti penduduknya etnik Kurdis.