SATU objek plastik yang didakwa seperti kerangka tingkap pesawat ditemui di Pulau Reunion - kawasan pencarian bahan bukti bagi pesawat yang hilang, MH370. Objek tersebut ditemui oleh seorang pelancong Perancis yang menggelar dirinya sebagai Bruno ketika berjoging di pantai St Denis pada Selasa. Ia juga dikatakan ditemui sejauh beberapa ratus meter dari pantai tempat satu serpihan sayap pesawat yang didakwa milik MH370 ditemui baru-baru ini. Pihak berkuasa tempatan pulau itu setakat ini tidak mengesahkan sama ada objek berkenaan daripada sebuah pesawat. Pihak penyiasat Perancis sebelum ini mengesahkan bahawa flaperon yang ditemui merupakan milik pesawat Boeing 777 - model sama dengan pesawat MH370. Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan oleh pelbagai pihak termasuk dari China dan Malaysia mengenai pesawat yang hilang sejak Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.