TOULOUSE: Sidang media bagi mengumumkan hasil pemeriksaan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion akan diadakan pada jam 1800 GMT di Paris (kira-kira 2 pagi waktu Malaysia), kata Pendakwaraya Perancis yang terlibat dalam kes kehilangan pesawat MH370. Pemeriksaan bahagian sayap itu dilakukan di bawah arahan hakim di pusat ujian aeronautikal yang dikendalikan tentera Perancis di Balma, barat daya bandar Toulouse. Pulau Reunion adalah salah satu wilayah milik Perancis. Pegawai Malaysia yang mengetuai penyiasatan nahas udara antarabangsa menjadi saksi pemeriksaan serpihan pesawat berkenaan yang diterbangkan ke Paris pada hujung minggu lalu. Pada masa sama, pegawai dari Amerika Syarikat dan pengeluar Boeing juga memberikan nasihat sama ada serpihan itu mempunyai kaitan dengan pesawat MH370. Pesawat berkenaan hilang pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang.