suria

Jakarta Perkenal Aplikasi Keselamatan Untuk Kaum Wanita

JAKARTA: Pentadbiran Daerah Khusus Ibukota Jakarta (DKI Jakarta) memperkenalkan satu sistem aplikasi khusus untuk keselamatan wanita yang dikenali sebagai Safety Pin bagi menyalur maklumat segera jika mereka diganggu penjenayah di sekitar bandar raya itu.

Aplikasi sistem komputer itu dihubungkan menerusi telefon pintar sebagai sebahagian daripada aplikasi sistem Jakarta Smart City.

Menerusi sistem itu, kaum wanita yang diganggu penjenayah hanya perlu menekan satu butang bagi meminta bantuan dan pihak berkuasa di Jakarta akan mengesan lokasi kejadian serta menghantar bantuan.

Gabenor DKI Jakarta Basuki Tjahaja Purnama dipetik oleh media tempatan sebagai berkata Safety Pin dihasilkan bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan wanita itu kini boleh diakses oleh masyarakat.

"Aplikasi Safety Pin merupakan inovasi yang memudahkan penggunanya membuat laporan kepada pihak berkuasa dengan menekan kod tertentu dalam telefon bimbit dan pihak berkuasa dapat mengesan lokasi kejadian," katanya.

Katanya, sistem itu dapat membantu wanita untuk merasa selamat bergerak dan menaiki pengangkutan awam di sekitar bandar raya itu.

Beliau berkata, sistem Jakarta Smart City telah dilaksanakan menerusi aplikasi komputer sejak awal tahun tetapi sebelum ini ianya tidak diintegrasikan dengan telefon pintar.

"Jadi, bila Jakarta terintegrasi dengan sistem aplikasi Safety Pin, dunia boleh melihat Indonesia serius menyelesaikan masalah gangguan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak.

"Lebih-lebih lagi aplikasi itu dapat dihubungi dengan jaringan internasional, sekali gus mempromosikan keunggulan Jakarta, katanya.

Artikel Lain