suria

MH17: Serpihan Disyaki Dari Peluru Berpandu Rusia Ditemui Di Lokasi Nahas

Lokasi nahas MH17 di Ukraine.

AMSTERDAM: Pendakwa Belanda dari pasukan penyiasat jenayah antarabangsa terhadap insiden pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine memberitahu bahawa serpihan yang ditemui di lokasi nahas mungkin milik sistem peluru berpandu buatan Rusia.

Pasukan penyiasat antarabangsa dan Belanda sedang menyiasat "beberapa bahagian, kemungkinan dari sistem peluru berpandu ke permukaan udara BUK," kata Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) dan pihak pendakwa menerusi satu kenyataan bersama.

"Bahagian-bahagian ini telah diperolehi semasa misi pencarian sebelum ini di timur Ukraine dan ia kini berada di bawah pengawasan pasukan penyiasatan jenayah bagi MH17 dan Lembaga Keselamatan Belanda," katanya.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu, mengorbankan kesemua 298 orang semasa pergolakan antara pasukan tentera Kiev dan puak pemisah pro Rusia.

Ukraine dan kebanyakan negara di Barat mendakwa pemberontak pro-Rusia yang menembak jatuh pesawat itu, dengan mengatakan bahawa mereka mungkin menggunakan peluru berpandu BUK yang dibekalkan oleh Rusia.

Rusia dan pihak pemberontak menafikan mereka bertanggungjawab dan menunding jari kepada pasukan tentera Ukraine.

Anggota bagi Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) diwakili oleh Belanda, Malaysia, Ukraine, Australia, Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia yang pada masa ini sedang mengadakan mesyuarat di The Hague bagi membincangkan mengenai draf laporan OVV berhubung punca nahas.

Menerusi kenyataan dari OVV dan JIT, serpihan yang disiasat itu "mungkin boleh memberi lebih banyak maklumat mengenai siapa yang terlibat dalam nahas MH17".

"Atas sebab itu, JIT akan membuat siasatan lanjut terhadap serpihan berkenaan. JIT akan menyenaraikan pakar-pakar di peringkat antarabangsa, antara lain pakar forensik dan pakar senjata," katanya.

Penyiasat menegaskan bahawa "pada masa ini, kesimpulan mengenai kaitan antara serpihan yang ditemui dengan pesawat MH17 yang terhempas tidak boleh dilakukan".

Rusia pada bulan lalu menggunakan kuasa vetonya menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk menubuhkan tribunal antarabangsa bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17 di Ukraine.

Negara-negara yang terlibat kini sedang mencari usaha lain untuk melaksanakan pendakwaan, walaupun tiada suspek yang dikenal pasti atau ditahan.

OVV akan mengeluarkan laporan akhirnya mengenai apa, bukan siapa yang menembak jatuh pesawat itu pada Oktober ini. - WIRES

MH17

Artikel Lain