JAKARTA: Rancangan Joko Widodo untuk mewujudkan semula undang-undang menghalang penghinaan terhadap pemimpin negara itu mendapat maklumbalas negatif bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono. Kata Susilo, walaupun sering menjadi mangsa penghinaan sepanjang pemerintahannya, beliau tidak menghiraukannya, sebaliknya memberi tumpuan kepada tugasnya. “Gambar saya dibakar dan dipijak. Seekor kerbau diarak di jalan raya dengan tulisan SBY di belakangnya. “Perkataan yang kurang sopan dan menghina saya turut disiarkan di media dan ketika perhimpunan awam,” katanya. Beliau menambah, bom jangka boleh terbentuk jika pemimpin tidak memahami perasaan dan fikiran rakyat, manakala media pula dibisukan. Susilo berkata, berbanding presiden sekarang, beliau menerima lebih banyak penghinaan dan dengan itu tiada sebab untuk Jokowi mengambil tindakan undang-undang. “Semua orang termasuk presiden mempunyai hak membuat laporan jika ada pihak menghina atau memfitnah mereka. “Bagaimanapun, sekiranya saya sering membuat laporan ia membuatkan pentadbiran saya kurang berkesan,” jelasnya. Menurutnya, jika beliau menggunakan haknya dengan membuat laporan polis, tentunya beratus-ratus orang ditahan polis dan disiasat. “Tindakan ini akan menyebabkan rakyat tidak berani untuk mengkritik dasar kerajaan dan menyuarakan pendapat dengan bebas," katanya.