suria

Hukuman Terhadap Justo Ditentukan Minggu Depan - Peguam

Andre Xavier Justo.

BANGKOK: Andre Xavier Justo, warga Switzerland yang memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi dan kemudiannya cuba menjual data yang dicuri dari syarikat tersebut kepada sekumpulan individu yang didakwanya berniat menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, boleh dijatuhi hukuman penjara di sebuah mahkamah di Bangkok, seawal minggu depan.

"Tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan," kata Dr Marc Henzelin, seorang peguam berpangkalan di Geneva yang diupah isteri Justo di Switzerland selepas melawat anak guamnya yang masih lagi ditahan reman di Thailand, awal minggu ini.

Justo, 48, ditahan oleh polis Thai di kediamannya di Koh Samui pada 22 Jun lalu.

Justo kemudiannya menandatangani pengakuan penuh dan dalam satu temubual dengan The Straits Times, Singapura ketika di dalam penjara pada 23 Julai lalu, dia menjelaskan bagaimana dia bertemu sekumpulan pembeli di Bangkok dan Singapura untuk menjual maklumat tersebut.

Dia mendakwa tidak dibayar AS$2 juta (RM8 juta) dalam urusan jual beli maklumat itu.

Pada 24 Julai lalu, Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Tong Kooi Ong dan penerbit Ho Kay Tat mengesahkan mereka bersetuju membeli data itu dan tidak membayar wang tersebut.

Justo turut menamakan Clare Rewcastle-Brown, penerbit Sarawak Report yang berpangkalan di Britain sebagai individu ketiga terlibat dalam urus niaga itu.

"Dia mengaku bersalah, jadi tidak akan ada perbicaraan penuh dengan saksi kerana keputusan itu sudah selesai.

"Akan ada pendengaran secara teori yang akan diadakan minggu depan. Dia akan dihukum dengan segera.

"Hakikat bahawa dia mengaku bersalah boleh meringankan hukuman. Asas bahawa dia bekerjasama dengan polis dan pengakuan yang dibuat akan dipertimbangkan hakim," kata Dr Henzelin melalui telefon dari Geneva.

Peguam itu memberitahu beliau diberitahu bahawa Justo mungkin akan dipenjarakan selama enam bulan hingga satu setengah tahun.

Di bawah terma perjanjian antara Thailand dan Switzerland, sekiranya Justo mempunyai tempoh hukuman kurang daripada setahun, dia boleh menjalani hukuman tersebut di Switzerland.

Namun Dr Henzelin berkata jika Justo harus menjalani hukuman di Thailand, dia harus menerima hakikat itu.


Andre Xavier Justo, PetroSaudi

Artikel Berikut

Artikel Lain