JAKARTA: Sebuah yayasan yang ditadbir keluarga bekas Presiden Suharto diarah membayar semula AS$325 juta (RM1.3 bilion) kepada negara, sebagai hukuman kerana menggelapkan wang empat kali ganda daripada jumlah itu, dalam masa lapan hari. Perintah yang dikeluarkan Mahkamah Daerah Jakarta Selatan pada Rabu mengarahkan Yayasan Supersemar yang ditadbir oleh keluarga bekas pemimpin Indonesia itu segera melangsaikan hutang berkenaan. Jika gagal membayar hutang mengikut tempoh yang ditetapkan, harta yayasan berkenaan akan dirampas. “Pihak yang kalah perlu mematuhi keputusan mahkamah dan membayar denda itu dalam masa lapan hari,” kata jurucakap mahkamah Made Sutisna, lapor tempo.co. Made berkata, mahkamah akan memanggil wakil yayasan berkenaan dan pejabat peguam negara berhubung keputusan mahkamah agung baru-baru ini. Peguam keluarga Suharto Muhammad Assegaf berkata, dia belum dihubungi oleh Yayasan Supersemar berkait dengan arahan berkenaan. Menurutnya, tidak ada waris Suharto terbabit dalam pengurusan yayasan berkenaan ketika ini dan pihak yang perlu membayar wang itu ialah yayasan terlibat. “Saya tidak tahu bagaimana yayasan itu mampu membayar jumlah wang sebanyak itu. “Adakah mereka masih memiliki harta?” soal Muhammad. - Agensi