suria

Pihak Berkuasa Thai Fail Pendakwaan Ke Atas Suspek Bom

Suspek yang dipercayai bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas dalam kes pengeboman di Thailand pada 17 Ogos lalu.

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand telah memfailkan pendakwaan ke atas seorang lelaki asing yang menjadi suspek bersubahat dengan kes pengeboman di tengah-tengah bandar raya ini yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia kurang lebih dua minggu lalu.

BBC melaporkan, lelaki itu didakwa atas kesalahan memiliki senjata haram dan bersubahat melakukan serangan maut ke atas orang awam.

Bagaimanapun suspek berkenaan bukanlah seorang lagi suspek yang wajahnya dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) meninggalkan sebuah beg yang dipercayai mengandungi bahan letupan berhampiran Tokong Keramat Erawan pada 17 Ogos lalu. 

Suspek utama kes ini masih belum ditahan.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Nong Jok di pinggir kota ini pada Sabtu.

Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Udomdej Sitabutr berkata, suspek berkenaan enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan kes tersebut.

"Kami perlu melakukan proses siasatan lanjutan kerana suspek itu enggan bekerjasama dengan pasukan penyiasat sama sekali," katanya sepertimana yang dipetik oleh agensi berita AFP.

Kewarganegaraan lelaki itu masih belum disahkan tetapi media-media massa tempatan telah melaporkannya sebagai seorang berbangsa Turki.

Ketika dia ditahan, pihak polis telah menemui sejumlah senjata api dan juga bahan letupan di samping beberap keping pasport palsu Turki.

Ketua Polis Thailand, Somyot Pumpanmuang enggan mengaitkan suspek berkenaan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

"Dia adalah seorang warga asing, tetapi buat masa ini kita tidak mengaitkannya dengan mana-mana organisasi pengganas antarabangsa. Kes ini lebih menjurus kepada isu peribadi," kata Somyot.

Bom Thailand, Erawan

Artikel Lain