suria

Bom: Tahanan Enggan Beri Kerjasama

Pasukan polis Thailand menyerbu sebuah pangsapuri dipercayai yang mempunyai kaitan dengan individu yang terbabit dalam letupan bom yang mengorbankan 20 orang.

BANGKOK: Lelaki warga asing yang ditahan polis Thailand,  kerana disyaki terbabit dalam serangan bom di Bangkok 17 Ogos lalu, enggan bekerjasama dengan pasukan penyiasat.

"Dia enggan menjawab soalan diajukan penyiasat sama ada dia terlibat atau memainkan apa-apa peranan dalam serangan tersebut," kata jurucakap polis, Prawut Thawornsiri.

Tambah Prawut lagi, lelaki itu juga berdiam diri ketika penyiasat bertanya mengenai serangan bom di jeti Sathorn, sehari selepas insiden pengeboman kuil Erawan yang meragut 20 nyawa.

Bangkok Post melaporkan polis menangkap lelaki itu selepas menyerbu sebuah pangsapuri di luar Bangkok, tengah hari Sabtu.

Ketika serbuan, polis turut menemui komponen untuk membuat bom di bilik sewa lelaki berkenaan.

Pada mulanya, polis mengumumkan bahawa suspek adalah warga Turki bernama Adem Karadag, 28, namun pasportnya dipercayai palsu.

Polis Thailand sebelum ini menyatakan, serangan tersebut tidak ada kaitan dengan kumpulan pengganas dari luar negara, sebaliknya hanya perbuatan balas dendam individu.

Bangkok, bom, Prawut Thawornsiri

Artikel Sebelum

Artikel Lain