KABUL: Selepas dua tahun, akhirnya kumpulan Taliban mengaku merahsiakan kematian pemimpin mereka Mullah Omar kerana mahu tentera asing menamatkan pertempuran dengan militan itu. Menerusi laman web Taliban, biografi ketua baru kumpulan itu Mullah Akhtar Mansour yang ditulis dalam lima bahasa itu turut mengakui Omar meninggal dunia pada April 2013, seperti didakwa agensi perisikan Afghanistan sebelum ini. Tindakan kepimpinan Taliban merahsiakan perkara itu menyebabkan berlaku perpecahan dalaman apabila anggota kumpulan itu kepemimpinan mengelirukan mereka dengan mengeluarkan surat atas nama Omar. “Beberapa anggota penting majlis Emiriah Islam (Taliban) dan ulama memutuskan untuk merahsiakan kematian Omar. “Antara alasan penting kematian itu dirahsiakan ialah 2013 dianggap tahun terakhir ujian kekuatan antara mujahidin dengan tentera asing yang mengumumkan semua operasi ketenteraan mereka akan berakhir pada penghujung 2014,” menurut kandungan dalam biografi itu. Pelantikan Mansour selaku pengganti Omar memburukkan krisis dalaman ketika Negara Islam (IS) mula mengembangkan pengaruh di negara itu. Beberapa pemimpin kanan, termasuk anak dan adik Omar enggan mengiktirafnya dengan alasan pelantikan Mansour dibuat secara tergesa-gesa.