BATAM: Dua wartawan Britain yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana menghasilkan dokumentari mengenai kegiatan lanun di Selat Melaka tanpa kebenaran besar kemungkinan berdepan hukuman penjara. Pegawai Pendakwa Raya Batam, Ali Akbar berkata, kedua-duanya boleh dihukum penjara lima tahun kerana melanggar undang-undang imigresen. Beliau berkata, pihaknya menerima surat arahan siasatan dari Pejabat Imigresen Batam terhadap Neil Bonner, 31, dan Becky Prosser, 30 yang ditahan sejak Mei lalu. Katanya, pasangan itu akan didakwa bekerja ketika memegang visa pelancong dan berdepan hukuman penjara lima tahun. “Kedua-dua mereka mengaku sebagai wartawan dan pejabat imigresen sedang menyiapkan kertas siasatan untuk mereka dihadapkan ke Mahkamah Daerah Batam,” katanya. Pasangan itu ditahan tentera laut Indonesia pada 28 Mei lalu bersama sembilan warga tempatan di Pulau Belakang Padang. Ketika ditahan mereka sedang merakam aksi lakonan semula lanun merampas kapal. Semua lelaki warga tempatan yang mendakwa dibayar pasangan berkenaan untuk melakonkan aksi lanun merampas kapal bagaimanapun dibebaskan selepas membayar ikat jamin.