suria

Turnbull Angkat Sumpah Sebagai PM Baru Australia

Malcolm Turnbull kini diangkat sebagai perdana menteri baru Australia.

CANBERRA: Pemimpin Parti Liberal yang baru, Malcolm Turnbull mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Australia pada Selasa, mengantikan Tony Abbott yang disingkirkan oleh ahli-ahli parlimen dari partinya sendiri semalam.

Abbott menerima hakikat yang penyingkirannya sebagai sesuatu yang sukar diterima tetapi berikrar akan memberikan kerjasama ke atas peralihan kuasa ini.

Turnbull pula dipetik sebagai berkata, "ini adalah saat yang sungguh teruja menjadi seorang warga  Australia".

Perdana Menteri baru ini adalah menteri komunikasi Australia di bawah pentadbiran Abbott.

Beliau kini menjadi perdana menteri Australia yang keempat dalam tempoh dua tahun (sejak 2013).

Abbott yang bercakap buat pertama kali di hadapan para wartawan sejak dia disingkirkan pada Isnin berkata kerajaan di bawah pimpinannya tidak sempurna tetapi berjaya mencapai beberapa kejayaan yang sepatutnya.

Beliau enggan mengesahkan sama ada akan bersara terus dari politik atau akan kekal sebagai ahli parlimen biasa.

"Ia adalah sesuatu yang sukar untuk diterima tetapi pada saat anda masuk ke gelanggang ini, anda harus terima peraturan dan permainannya," ujar Abbott.

Beliau menyifatkan dirinya sebagai mangsa pembunuhan karakter.

Turnbull dijangka tidak akan mengumumkan barisan kabinetnya yang baru sehingga hujung minggu ini.

Sementara itu, Timbalan Pemimpin Parti Liberal, Julie Bishop, yang belot dan mengumumkan sokongannya kepada Turnbull berkata, ahli-ahli parlimen parti itu telah memberi tempoh selama enam bulan kepada Abbott untuk melakukan perubahan ke atas beberapa isu malangnya ia tidak berlaku.

Itu, katanya telah mendorong mereka untuk menyingkirkan Abbott sebagai pemimpin sekaligus menjatuhkannya sebagai perdana menteri negara itu.

Dengan lima perdana menteri dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, Australia kini dikenali sebagai negara yang paling tinggi 'rampasan kuasa' dalam dunia demokrasi.

Australia di bawah kepimpinan Bob Hawke, Paul Keating dan selepas itu John Howard mengecapi kestabilan politik yang berpanjangan sehinggalah era 'membalas dendam' menjadi mainan dalam parlimen negara itu.

Malcolm Turnbull, perdana menteri baru sebelum ini pernah 'ditikam' dari belakang oleh orang yang digantinya, Tony Abbott.

Sebelum itu, perdana menteri dari Parti Buruh, Kevin Rudd 'digulingkan' oleh timbalannya Julia Gillard. Tetapi tidak sampai setahun kemudian, Gillard pula 'digulingkan' oleh Rudd dengan cara yang sama iaitu undi tidak percaya di parlimen oleh ahli partinya sendiri.

Rakyat Australia kemudiannya 'menghukum' Parti Buruh dengan memilih Parti Liberal untuk mengetuai kerajaan baru pada pilihan raya umum dua tahun lalu.

Dalam tempoh satu dekad ini, tidak ada perdana menteri Australia yang berjaya menghabiskan tempoh perkhidmatan mereka selama satu penggal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain