suria

Pasport Syria Dijual Di Turki Dengan Mudah

Identiti baru menggunakan pasport sebenar. Foto: Mark Large/Mail Online.

LONDON: Seorang wartawan British, Nick Fagge dengan mudah memperolehi pasport Syria, kad pengenalan dan lesen memandu yang sah dengan membayar AS$2,000 kepada satu sindiket yang beroperasi di sempadan Turki.

Pasport yang diperolehi itu bukanlah pasport palsu, sebaliknya ia adalah pasport sebenar kosong yang dicuri daripada pejabat imigresen oleh puak militan yang menentang regim Presiden Bashar Al-Assad.

Siasatan yang dijalankan oleh wartawan Mail Online itu adalah untuk membuktikan betapa puak militan dengan mudah boleh menyelusup masuk ke Eropah menggunakan pasport asli Syria yang identiti pemiliknya adalah dipalsukan oleh sindiket yang menjualnya.

Laporan itu menyebut, pasport Syria kini adalah yang paling laris di pasaran gelap kerana ia adalah laluan mudah untuk masuk ke Eropah ekoran perasaan simpati negara-negara Eropah ke atas pelarian Syria yang sebenar akibat perang saudara dan juga konflik yang berterusan di negara berkenaan.

Jadi puak militan yang memperolehi pasport itu boleh bersembunyi atas nama mangsa pelarian perang Syria untuk diterima masuk ke Eropah dan kemudian membentuk sel-sel baru gerakan militan untuk melancarkan serangan.

Wartawan Mail Online yang menyamar itu bukan sahaja berjaya memperolehi pasport Syria yang asli dan baru malah dia juga dibekalkan dengan kad identiti warga Syria yang baru serta lesen memandu Syria.

Selepas menerima bayaran sebagaimana yang diminta, sindiket berkenaan hanya memasukkan foto wartawan berkenaan, memberikannya identiti baru iaitu seorang lelaki Syria yang telah meninggal dunia tahun lalu dan berasal dari bandar Aleppo, Syria.

Dengan pasport berkenaan, pemegangnya secara sah boleh memohon perlindungan sebagai pelarian perang di mana-mana negara Eropah.

Mail Online kemudiannya dimaklumkan oleh sindiket berkenaan yang pasport seperti ini telah digunakan oleh pejuang-pejuang dan militan negara Islam untuk memasuki Eropah tanpa dapat dikesan dengan menjadi sebahagian daripada pelarian perang syria.

Kata mereka, ini adalah cara baru yang digunakan untuk menyusup masuk ke Eropah menggunakan identiti baru yang palsu.

Pendedahan ini dilakukan sejurus selepas pihak berkuasa Lebanon memberi amaran kepada negara-negara Eropah bahawa dua orang daripada setiap 100 pelarian Syria yang diseludup ke Eropah adalah pejuang-pejuang negara Islam.

Sebahagian besarnya masuk ke Eropah menerusi Turki ke Greece.

Amaran ini disampaikan oleh Menteri Pendidikan Lebanon, Elias Bousaab kepada Perdana Menteri British, David Cameron yang dalam lawatan rasmi ke Asia Barat Isnin lalu.

Selain pejuang-pejuang militan, dokumen seperti ini juga digunakan oleh pelarian-pelarian ekonomi dari lain-lain negara Arab untuk mencari kehidupan baru di Eropah kerana sebagai pemegang pasport Syria, mereka akan lebih menerima simpati Eropah.

Setakat ini lebih empat juta warga Syria melarikan diri ke Turki dan juga sempadan Eropah dalam usaha untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Jerman sahaja telah berikrar untuk menerima satu juta pelarian Syria tahun ini dan memberi tekanan kepada lain-lain negara Eropah supaya menerima jumlah pelarian yang besar.

Syria, Mail Online, Turki, Greece, Jerman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain